The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Zach Clough #IsRed

Jul 22, 2025 - FAS

Selangor FC hari ini secara rasmi mengumumkan Zach Clough sebagai pemain import baharu kelima Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia, serta kejohanan antarabangsa AFC Champions League Two (ACL TWO) dan Kejohanan Kelab ASEAN bagi musim 2025/26.

 

Clough, 30 tahun, memulakan karier profesionalnya bersama Bolton Wanderers F.C. sebagai salah seorang prospek muda kelab yang berpotensi tinggi. Beliau berjaya menembus masuk ke pasukan senior Bolton Wanderers F.C. pada tahun 2015 dan mencatat 23 gol dalam 77 penampilan. Bakatnya kemudian membantu beliau ke Nottingham Forest F.C. untuk 31 perlawanan, sebelum bersama Wigan Athletic F.C. dan Carlisle United F.C. 

 

Pemain tengah berdarah Inggeris ini kemudian ke Liga-A di Australia pada 2022, di mana beliau menjadi salah seorang pemain pilihan para penyokong di Adelaide United FC atas kelebihan yang dimiliki beliau, seorang yang kreatif, berkepimpinan tinggi dan corak permainan yang konsisten terutamanya di bahagian ‘final third’. Pengalaman yang dimiliki membantu beliau merekodkan 93 penampilan, menjaringkan 22 gol, dan pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik pada musim 2023/24 di Liga-A bersama Adelaide United FC.

 

Zach berharap kebolehan dan pengalamannya dalam menyesuaikan diri sepanjang kariernya dalam kancah bola sepak akan membantu beliau menyahut cabaran baharu ini dengan cepat, “Saya akan fokus untuk menyesuaikan diri dengan cepat dengan bekerja keras, bergaul dengan rakan sepasukan, dan memahami apa yang dimahukan oleh barisan jurulatih. Saya juga mempunyai pengalaman bermain di bawah beberapa pengurus di kelab yang berbeza sebelum ini. Pengalaman tersebut telah membentuk diri saya, dan saya percaya ini akan membantu saya untuk bersedia menghadapi cabaran baharu di Selangor ini dan memberikan segala-galanya untuk pasukan."

 

“Sukan bola sepak satu permainan yang bergerak dengan pantas, saya rasa baru sahaja berusia 18 tahun semalam, dan sekarang saya sudah berusia 30 tahun. Sejujurnya, ini membantu saya untuk menghargai perjalanan hidup dan menikmati setiap saat yang ada dengan baik. Dalam masa yang sama, datang ke Malaysia dan sertai Selangor FC bukan sekadar keputusan untuk bola sepak, tetapi ini akan menambah pengalaman yang bermakna dalam hidup saya. Peluang seperti ini tidak selalu datang, dan saya mahu manfaatkannya dengan baik, terutamanya untuk diri saya sendiri, keluarga dan para penyokong.” tambah beliau.

 

Selangor FC mengalu-alukan kedatangan Zach Clough dan berharap beliau akan memperkuatkan pasukan terutamanya di bahagian tengah Gergasi Merah untuk Liga Malaysia 2025/26 dan kempen antarabangsa dalam ACL Two dan Kejohanan Kelab ASEAN. #CloughIsRed

 

Nantikan saluran media sosial rasmi Selangor FC untuk maklumat terkini mengenai persiapan pasukan untuk musim 2025/26.

 

Demi Kebanggaan!